PBS Lumadan Perkukuh Organisasi Menerusi Kepimpinan Baharu

PBS Lumadan Perkukuh Organisasi Menerusi Kepimpinan Baharu

0
SHARE

BEAUFORT: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Lumadan terus memperkukuh organisasi parti menerusi pelantikan serta angkat sumpah Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita bagi sesi 2026–2029 yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkasa perjuangan parti serta mempertingkatkan khidmat kepada rakyat.

Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Setuju Terima itu disempurnakan oleh Ketua Bahagian PBS Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, di Bilik Mesyuarat Lumadan, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Ruslan merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa yang diberikan kepercayaan untuk memimpin Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita bagi sesi baharu.

Beliau berkata, pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh komitmen, integriti dan semangat kerja berpasukan demi memperkukuhkan perjuangan parti serta memastikan PBS terus menjadi wadah yang membela kepentingan rakyat.

Menurutnya, kekuatan sesebuah organisasi bergantung kepada kesatuan dan kerjasama seluruh barisan kepimpinan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya yakin barisan kepimpinan yang telah mengangkat sumpah hari ini mampu memainkan peranan dengan baik dalam memperkukuhkan organisasi parti serta terus mendekati rakyat di seluruh kawasan N.34 Lumadan,” katanya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita PBS N.34 Lumadan melafazkan ikrar serta menandatangani dokumen setuju terima jawatan sebagai simbol kesediaan memikul amanah bagi sesi 2026–2029.

Ruslan turut menyeru seluruh kepimpinan agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam memperjuangkan aspirasi parti serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan N.34 Lumadan.