TVET, AI dan Pembangunan Bakat Tempatan Kunci Revolusi Perburuhan Sabah

TVET, AI dan Pembangunan Bakat Tempatan Kunci Revolusi Perburuhan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah perlu memperkukuhkan pembangunan modal insan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peningkatan kemahiran serta penguasaan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing di peringkat serantau dan global.

Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib berkata, revolusi perburuhan bukan sekadar perubahan undang-undang pekerjaan, sebaliknya transformasi menyeluruh yang merangkumi pembangunan bakat, produktiviti dan budaya kerja selaras dengan perkembangan teknologi.

Agenda TVET perlu terus diperkasakan sebagai teras pembangunan modal insan negeri. Anak-anak Sabah mesti dilengkapi kemahiran yang relevan dengan keperluan industri seperti AI, automasi, robotik, keselamatan siber, teknologi hijau dan ekonomi digital supaya mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk Hassan Mahali, pada Majlis Penutupan Konvensyen Revolusi Perburuhan Sabah 2026 di sini, baru-baru ini.

James berkata, Sabah juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dengan memberi keutamaan kepada pembangunan bakat tempatan menerusi latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau turut menyeru majikan terus melabur dalam pembangunan pekerja tempatan, manakala pekerja digesa meningkatkan kemahiran, produktiviti dan integriti bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti di negeri ini.