TOKYO, JEPUN – Mengejutkan!! apabila Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bakal mengumumkan peletakan jawatan susulan masalah kesihatan, lapor media tempatan hari ini.
Memetik sumber laporan stesen penyiaran rasmi NHK, “Abe mahu meletakkan jawatan kerana keadaan kesihatannya semakin buruk dan beliau bimbang ia akan mencetuskan lebih banyak masalah.”
Spekulasi mengenai keadaan kesihatan perdana menteri itu kerap diperkatakan kebelakangan ini, tetapi semakin hangat sejak beberapa hari lalu, apabila beliau membuat dua lawatan berbeza ke hospital, bagi menjalani pemeriksaan.
Tiada sebarang pengesahan, bagaimanapun diterima berhubung laporan itu.
Berita tidak dijangka itu menyebabkan pasaran saham Tokyo menjunam lebih dua peratus (2%), dengan indeks Nikkei 225 mencatatkan kerugian.
AFP turut melaporkan bahawa peletakan jawatan Abe ini adalah yang kedua dibuat beliau, selepas kali pertama berbuat demikian pada 2007, juga atas faktor kesihatan.
Beliau sebelum ini didiagnos dengan ulcerative colitis, yang disifatkannya berada dalam keadaan terkawal, selepas menerima rawatan.
Peletakan jawatan itu jika sahih, akan menafikan kenyataan dibuat jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga pagi tadi, bahawa Abe berada dalam keadaan sihat.
“Saya bertemu beliau setiap hari dan tidak rasa ada sebarang perubahan ke atas beliau,” katanya.