TAWAU: Polis daerah ini telah menahan seorang lelaki dipercayai memiliki senjata api di Taman Semarak, baru-baru ini.
Polis Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau telah menjalankan serbuan di sebuah rumah di Taman Semarak.
“Semasa serbuan, polis mendapati terdapat empat orang lelaki mencurigakan berumur di antara 29 hingga 54 tahun berada di dalam rumah.
“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan di dalam rumah, polis telah menemui sepucuk pistol serta kelopak berisi peluru, beberapa butir peluru, sarung pistol serta sebilah pedang samurai berserta sarung di dalam rumah.
“Kesemua suspek serta barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.






