Sabah, Johor Berpotensi Perkukuh Kerjasama Pemuliharaan Warisan dan Pelancongan Budaya

Sabah, Johor Berpotensi Perkukuh Kerjasama Pemuliharaan Warisan dan Pelancongan Budaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah dan Johor berpotensi memperkukuh kerjasama dalam pemuliharaan warisan serta pembangunan pelancongan budaya menerusi perkongsian kepakaran, jaringan muzium dan pelaksanaan program bersama yang mampu memperkayakan landskap pelancongan budaya negara.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkara itu menjadi antara fokus utama lawatan kerja rasmi delegasi kementeriannya ke Muzium Diraja Abu Bakar di Istana Besar Johor baru-baru ini.

Katanya, lawatan berkenaan memberi pendedahan mengenai amalan terbaik dalam pemeliharaan aset sejarah, pengurusan muzium serta usaha meningkatkan pengalaman pengunjung melalui penyampaian maklumat yang berkualiti. 

“Segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh akan memberi manfaat besar kepada Sabah dalam usaha memperkukuh pemeliharaan serta mempromosikan warisan budaya dan sejarah negeri yang unik.

“Saya percaya Sabah dan Johor mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama melalui perkongsian ilmu, pembangunan profesional, inisiatif pemuliharaan warisan, jaringan antara muzium serta penganjuran program pelancongan budaya secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata lagi, warisan bukan sekadar peninggalan masa lalu, sebaliknya merupakan aset strategik pelancongan yang mencerminkan identiti negara, memperkukuh perpaduan, mendidik generasi akan datang serta mewujudkan peluang ekonomi yang mampan melalui sektor pelancongan budaya.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua negeri diyakini mampu memperkukuh pengalaman pelawat di samping memperkayakan produk pelancongan budaya Malaysia.

Dalam lawatan itu, delegasi Sabah menerima taklimat daripada Kurator Muzium Diraja Abu Bakar, Mohd Azlan Hafiz Mohti mengenai warisan institusi diraja, koleksi sejarah, amalan pemuliharaan dan pengurusan muzium.

Jafry turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar, Kolonel Dato’ Mohamed Perang Musa (B), atas sambutan serta kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan rasmi tersebut.

Beliau berkata, menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kementeriannya akan terus memberi penekanan kepada budaya dan warisan sebagai antara teras utama strategi pembangunan pelancongan negeri bagi memastikan khazanah sejarah dan tradisi Sabah terus dipelihara, dipromosikan serta dikongsi dengan masyarakat dunia.