Hajiji Perkukuh Jaringan Global, Tarik Pelaburan Berkualiti ke Sabah

Hajiji Perkukuh Jaringan Global, Tarik Pelaburan Berkualiti ke Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang mampu memacu pembangunan mampan, transformasi ekonomi dan pertumbuhan jangka panjang negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan bersama beberapa tokoh korporat dan pemimpin antarabangsa yang menghadiri Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah 2026 di sini.

Menurut beliau, pertemuan berkenaan menjadi platform penting untuk bertukar pandangan, memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan baharu yang memberi manfaat kepada Sabah.

“Pertemuan ini memberi peluang kepada kami untuk bertukar pandangan, memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan yang mampu menyumbang kepada pembangunan mampan, transformasi ekonomi dan pertumbuhan jangka panjang Sabah.

“Ia juga mencerminkan komitmen kita untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Hajiji berkata, Kerajaan Sabah kekal komited mewujudkan ekosistem yang mesra perniagaan dan pelabur bagi menarik pelaburan berkualiti, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta manfaat ekonomi yang mampan kepada rakyat.

Antara tokoh yang menghadiri pertemuan itu ialah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Mohammad Faiz Azmi; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Habitat Foundation, Dato’ Sri Harry Cockrell; Ketua Pegawai Eksekutif EQ Hotels, Donald Lim; serta beberapa tokoh korporat dan bekas pegawai kanan dari Hong Kong.

Turut hadir ialah Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Tan Sri Andrew Sheng; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah; Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah, Tan Sri David Chu; bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew; Penasihat Kewangan kepada Ketua Menteri, Datuk Siaw Kok Chee; bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Yussof Kassim; serta Datuk John Lo Thau Fah.