Bukan Sekadar Camping, Taginambur Glamping Bentuk Jiwa Pemimpin – Ghazali

Bukan Sekadar Camping, Taginambur Glamping Bentuk Jiwa Pemimpin – Ghazali

0
SHARE

KIULU: Taginambur Glamping 2026 bukan sekadar program perkhemahan biasa, sebaliknya menjadi medan penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berani, berdaya tahan serta memiliki nilai kepimpinan dan semangat perpaduan yang tinggi.

Program selama enam hari itu menghimpunkan penyertaan daripada 49 buah sekolah, termasuk tujuh sekolah dari Sarawak serta sebuah sekolah dari Johor yang menjadi satu-satunya wakil dari Semenanjung Malaysia.

Darren John Soimpon, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Bongol, Tamparuli, Tuaran, menunjukkan keberanian dan keyakinan ketika menemu bual Datuk Ghazali dalam satu sesi santai…

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, penyertaan sekolah dari luar Sabah membuktikan program berkenaan semakin mendapat perhatian dan berpotensi dikembangkan sebagai platform perkhemahan unit beruniform di peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, kegiatan kokurikulum khususnya penyertaan dalam unit beruniform merupakan komponen penting dalam sistem pendidikan kerana mampu membina sahsiah murid melalui pengalaman dan latihan secara praktikal.

Katanya, penganjuran program bermula 12 hingga 17 Julai itu mencerminkan kreativiti dan komitmen tinggi warga Sekolah Kebangsaan Taginambur dalam menjayakan agenda Reformasi Pendidikan serta melahirkan Generasi Madani.

Program ini bukan sekadar pelengkap kepada pembelajaran akademik di dalam bilik darjah, tetapi menjadi medan melatih disiplin, keyakinan diri, semangat setia kawan, toleransi dan kerjasama dalam kalangan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Taginambur Glamping 2026 di Pusat Kokurikulum Negeri Sabah, Kem Malangang, Kiulu, pada Isnin.

Ghazali berkata, penjenamaan semula daripada Program Perkhemahan Perpaduan Madani Unit Beruniform Sekolah Rendah Peringkat Negeri 2025 kepada konsep glamping membuktikan pihak sekolah sentiasa bergerak ke hadapan dalam memperkenalkan pendekatan lebih segar, kreatif dan bersesuaian dengan jiwa generasi masa kini.

Katanya, konsep glamping menggabungkan aktiviti luar yang mencabar fizikal dengan elemen keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan emosi tanpa menghilangkan matlamat utama perkhemahan untuk membina ketahanan diri serta kemahiran ikhtiar hidup.

Menurut beliau, program itu turut membuka peluang kepada murid dan unit beruniform sekolah rendah yang sebelum ini jarang mendapat pendedahan di peringkat lebih tinggi untuk menimba pengalaman serta mempersiapkan diri melangkah ke peringkat negeri dan kebangsaan.

“Gunakanlah peluang ini untuk membina keberanian, mengukuhkan disiplin dan belajar menyelesaikan setiap tugasan secara berkumpulan. Kekuatan negara terletak pada kepelbagaian dan perpaduan yang perlu dipupuk sejak di bangku sekolah,” katanya.

Ghazali turut berharap segala ilmu, kemahiran serta nilai kepimpinan yang diperoleh sepanjang program itu tidak berakhir selepas peserta meninggalkan tapak perkhemahan, sebaliknya terus diamalkan dalam kehidupan seharian dan ketika kembali ke bilik darjah.

Beliau turut mahu peserta menjadi ejen perubahan positif, memimpin rakan-rakan melalui teladan yang baik serta membuktikan bahawa generasi muda mampu mendepani cabaran masa hadapan dengan penuh keyakinan.

Dalam pada itu, Ghazali berharap Taginambur Glamping dapat dijadikan acara tahunan dan dikembangkan sehingga melangkaui sempadan negeri menerusi kerjasama erat pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, ibu bapa serta komuniti.

Katanya, program berimpak tinggi itu berpotensi meletakkan SK Taginambur dan Daerah Tuaran sebagai penanda aras dalam melahirkan modal insan yang holistik, seimbang dan cemerlang di peringkat Sabah serta kebangsaan.