BEAUFORT: Penanaman pokok perapat di Kampung Nabahan di sini berupaya membantu mengekalkan ekosistem hutan selain dapat menyemarakkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan penghijauan kawasan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk, Ruslan Muharam berkata, ia juga adalah sebagai menyahut seruan kerajaan bagi program penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh negara.
“Saya telah bersama warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston dalam program tanaman pokok perapat di kampung Nabahan. Pokok perapat ini perlu ditanam di kawasan lebih strategik dan lebih dekat.
“Ini kerana pelancong kita semakin ramai yang berkunjung di Weston dan pokok perapat ini pula menjadi satu kegemaran kepada monyet Proboscis dan juga kelip-kelip,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Hijaukan Bumi, Sepohon Pokok Seribu Harapan bersama warga pendidik SMK Weston, baru-baru ini.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihaknya telah mengadakan program berkenaan untuk jangka panjang dan telah bermula pada 2023 dengan menanam sebanyak 400 pokok pada fasa pertama.
Katanya, pokok ini sudah pun dihinggap oleh kelip-kelip dan menjadi semangat untuk mendorong kepada mereka untuk datang disitu.
“Jadi saya memfokuskan kepada sekolah ini, mereka bukan saja mengajar akademik di peringkat sekolah tapi mereka boleh membawa masyarakat kita mendidik untuk menanam pokok.
“Ini kerana kita perlu menghijaukan bumi kita ini sebagai penambah oksigen yang begitu diperlukan oleh masyarakat.
“Disamping itu juga kita akan menyediakan makanan ataupun habitat yang mana haiwan-haiwan yang makan pucuk-pucuk perapat ini. Jadi ini akan memberi limpahan ekonomi khususnya kepada masyarakat yang dikunjungi juga pelancong kita,” katanya.