KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus berusaha dan berikhtiar untuk memajukan negeri Sabah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sehubungan itu beliau yakin Sabah akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.
“Saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini untuk saling bekerjasama, berganding bahu dan bersatu padu ke arah memacukan pembangunan negeri Sabah yang tercinta.
“Sesungguhnya, Yang di-Pertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
“Justeru, institusi Yang di-Pertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selamalamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah,” katanya sempena Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama
Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.
Hajiji turut berkongsi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sejak lebih empat tahun lalu, khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya
(SMJ).
“Menerusi pelan pembangunan SMJ, kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai pelaburan di samping menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Hasil negeri turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik
dan kita telah berjaya mengutip hasil hampir RM7 billion pada tahun 2024.
“Kita akan meneruskan momentum ini untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang. Pencapaian yang sangat menggalakkan ini adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan.
“Di sudut yang lain, berkat kerjasama dan sinergi padu antara sektor awam dengan sektor swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah menghasilkan impak positif dalam pertumbuhan ekonomi negeri. Perkembangan yang memberangsangkan ini adalah sejajar dengan hala tuju yang dilancarkan hampir empat tahun yang lalu,” katanya.
Hajiji berkata kemajuan dan kesejahteraan rakyat juga tetap menjadi agenda utama kerajaan, justeru pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada kumpulan sasar, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.
Selain itu katanya, golongan pelajar dan mereka yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi, juga tidak diabaikan, yang mana melalui program pembangunan modal insan, kerajaan menyediakan dana
pembiayaan kos pengajian untuk mereka yang berkelayakan.
“Kerajaan juga akan terus memastikan kelestarian khazanah alam, sentiasa memelihara nilai budaya dan adat resam seluruh kaum, serta mengekalkan nilai perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin sejak turun temurun. Aspek keselamatan dan
ketenteraman awam, akan terus diutamakan, bagi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Musa bin Haji Aman, sebagai Tuan Yang diPertua Negeri Sabah ke-11.
“Semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tusin serta seluruh ahli keluarga yang tercinta, sentiasa berada di bawah lindungan dan limpahan rahmat Allah SWT, dengan nikmat
keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan,” katanya.