Tun Musa Aman Lafaz Sumpah Yang Dipertua Negeri Sabah

Tun Musa Aman Lafaz Sumpah Yang Dipertua Negeri Sabah

0
SHARE
Tun Musa mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Tun Musa Aman telah melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 dalam istiadat yang diadakan di Istana Seri Kinabalu hari ini.

Musa, yang diiringi oleh isterinya Toh Puan Faridah Tussin, tiba di Dewan Istiadat pada jam 10.11 pagi dan melafazkan sumpah jawatan pada pukul 10.22 pagi.

Beliau menandatangani surat sumpah jawatan yang disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyampaikan ucapan tahniah dan melafazkan ikrar taat setia.

Tun Musa menandatangani surat sumpah jawatan disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu Jaafar, kemudian membacakan doa untuk kesejahteraan negeri di bawah naungan Musa.

Istiadat berakhir dengan pemergian Yang Dipertua Negeri pada jam 10.43 pagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Pada 17 Disember, Musa menerima watikah pelantikan dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.

Beliau menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang menamatkan perkhidmatan selepas empat penggal. — BERNAMA