KOTA KINABALU: Tindakan segelintir individu yang membawa nama ‘Mahasiswa’ pada Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah semalam dilihat lebih kepada agenda politik murahan.
Hal tersebut disuarakan seorang pelajar bidang ekonomi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Mohammad Adnan Shah Bin Mohd Adam Shah, semalam.
Katanya, tindakan kumpulan yang membawa nama ‘UMS’ pada perhimpunan itu juga tidak disokong oleh 80 peratus pelajar yang masih menuntut di universiti berkenaan.
“Hari ini (semalam) saya hadir pada Himpunan Bangkit Sabahan dan tidak menyokong tindakan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Suara Mahasiswa UMS’ dan ‘menjual’ nama kami iaitu mahasiswa di lencana dada kami.
“Tujuan saya hadir hari ini juga adalah untuk memberitahu mengenai tanggapan salah orang ramai terhadap universiti kami dan juga mahasiswa yang mereka bawa. Kononnya mahasiswa ini adalah rakyat dan berhak untuk berpolitik.
“Saya sama sekali tidak menyokong agenda politik murahan mereka ini kerana ada lagi 80 peratus mahasiswa yang tidak menyokong agenda politik mereka malah lebih lagi bila mereka membawa nama mahasiswa,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Pada perhimpunan itu, seramai 1,500 orang terdiri dari 10 buah badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir menyertai secara aman berikutan ketiadaan permit yang tidak diluluskan pihak keselamatan.
Adnan berkata, sebagai seorang individu bergelar mahasiswa perlulah mempunyai matlamat utama dalam menuntut ilmu, membina karakter dan membina masa depan.
Katanya ini adalah bagi membantu ibu bapa dan keluarga bagi mengubah masa depan yang lebih cerah selain membantu membangunkan negeri dan negara.
“Mesej saya untuk segelintir mahasiswa ini, walaupun saya tahu masih muda, darah masi panas tapi ini bukan kita punya level. Level kita perlu belajar menuntut ilmu dan membina masa depan.
“Kepada keluarga yang susah, kesedaran itu perlu ada di mana ada ibu bapa yang susah payah menghantar kita ke universiti.
“Kita sebagai pelajar perlu membina masa depan yang baik bukan menyokong agenda-agenda politik murahan ini,” katanya.