INANAM: Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Belsheera Elison, tampil mempertahankan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digerakkan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan menyifatkannya sebagai bukti nyata kecekapan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Plus – (GRS-PH Plus).
“Ada yang memperlekeh SMJ, tetapi ini bukan sekadar slogan politik. Ini adalah pelan pembangunan sebenar yang telah dilaksanakan dengan serius dan memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Belsheera berkata demikian dalam ucapannya sempena Persidangan Tahunan Pergerakan Beliawanis Bahagian Inanam di Dewan Masyarakat Menggatal pada Ahad lalu.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Beliawanis Pusat, menegaskan bahawa tiga fokus utama SMJ, iaitu S-Sektor Ekonomi Utama: Pertanian, Perindustrian, Pelancongan; M-Modal Insan & Kesejahteraan Rakyat; dan J-Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
Ini semua katanya, telah diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang menyentuh terus kehidupan rakyat, antaranya Program Rumah SMJ, bantuan pendidikan, skim keusahawanan belia dan insurans rakyat Sabah.
Dalam pada itu katanya lagi, GRS bukan hanya sebuah gabungan parti politik, ia adalah gerakan rakyat. Ia adalah platform untuk anak muda dan wanita muda memimpin dan menyumbang kepada masa depan negeri.
Justeru itu, Belsheera turut mengajak golongan muda untuk tidak hanya menjadi pemerhati, tetapi mengambil peranan aktif dalam membina masyarakat, sama ada melalui penyertaan politik, penglibatan dalam komuniti, atau menyuarakan pendapat di media sosial.
“Kita tidak perlu menjadi YB untuk menyumbang. Mulakan dari mana-mana, dengan langkah kecil tetapi jiwa besar. Pastikan suara anak muda terus kedengaran, jangan biarkan ia tenggelam,” ujarnya lagi.






