KOTA KINABALU, SABAH – Parti Makkal Sakti Sabah menyambut baik peluang yang diberikan parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hal itu diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa Mesyuarat Agung Ke-13 Parti Makkal Sakti di Menara Dato Onn pada Ahad.
Zahid berkata ini disebabkan Parti Makkal Sakti yang sentiasa setia bersama BN selama 13 tahun.
Pengerusi Parti Makkal Sakti Sabah, Datuk A.Nagaraju, berkata akan terus menyumbangkan tenaga dan masa untuk membantu membina Keluarga Malaysia.
Namun, katanya, usul bagi masyarakat India di Sabah adalah unik berbanding dengan isu-isu di Semenanjung Malaysia.
“Pertama merupakan isu rentetan ‘Migrations Fund Board (MFB)’ dimana sekumpulan masyarakat India yang memasuki tanah Sabah pada tahun 60-an dan awal 70-an sebagai buruh di kawasan-kawasan peladangan seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datuk, Kunak, Tawau dan sebagainya,” katanya.

Nagaraju berkata untuk mencapai hak mereka yang bekerja dan mengembangkan keluarga sehingga kini tetapi menghadapi masalah dokumentasi yang lengkap,
“Kedua adalah capaian saluran radio malaysia MINNAL FM di ruang udara negeri Sabah. Masih tiada khabar perkembangan walaupun permohonan demi permohonan dihantar untuk perhatian pihak yang berkaitan,” katanya.
Nagaraju berpendapat budaya India dapat disemat dan dipelihara kepada penghuni di Sabah dengan stetsen radio tersebut.
“Ketiga adalah bagi mendapatkan status pemastautin tetap Negeri Sabah bagi masyarakat India yang datang dari Semenanjung dan telah berkhidmat di negeri Sabah sehinggalah persaraan mereka,” katanya lagi.
Makkal Sakti adalah parti yang mewakili kaum India dan diasaskan oleh bekas pemimpin Pasukan Tindakan Hak Hindu (Hindraf) dan bukan sebahagian daripada BN walaupun telah bertahun-tahun menyokong gabungan itu.
Parti berkenaan kini dilihat sebagai ancaman kepada parti MIC yang mana telah cuba menyekat percubaan parti lain yang mewakili komuniti India untuk menjadi sebahagian daripada BN.