KOTA KINABALU: Perlindungan data peribadi perlu menjadi keutamaan dalam pembangunan ekosistem kesihatan digital bagi memastikan transformasi sektor itu dapat dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mendapat kepercayaan rakyat.
Menteri Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, kemajuan teknologi dan pendigitalan dalam sektor kesihatan perlu diseimbangkan dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh serta perlindungan data peribadi yang berkesan.
Katanya, agenda pendigitalan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan strategik bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam termasuk dalam sektor kesihatan.
“Kita sedang berada dalam satu era di mana teknologi, data dan inovasi menjadi pemacu utama kepada perubahan dalam hampir semua sektor, termasuk sektor penjagaan kesihatan.
“Namun, kemajuan digital ini perlu bergerak seiring dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh dan perlindungan data peribadi yang berkesan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri KPSTI, Jordan Jude Ellron pada perasmian PDPA Connect Sabah 2026: Towards a Smart and Safe Healthcare Data Ecosystem di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Beliau berkata, penggunaan teknologi seperti rekod kesihatan elektronik, sistem temu janji digital, perkhidmatan kesihatan jarak jauh serta analitik data mampu meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan, memperkukuh penyelidikan dan membantu perancangan dasar.
Bagaimanapun, katanya, setiap organisasi perlu memastikan data yang diproses dan dikongsi dikendalikan secara berhemah bagi melindungi kepentingan rakyat.
“Teknologi yang baik bukan hanya teknologi yang mampu memudahkan urusan, tetapi teknologi yang mampu melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Menurut James, perlindungan data peribadi tidak boleh dilihat hanya dari aspek pematuhan undang-undang, sebaliknya perlu menjadi budaya organisasi yang melibatkan aspek operasi, teknologi dan pembinaan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan digital.
Beliau berkata, pembinaan kepercayaan digital memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pihak kawal selia, institusi kesihatan, universiti, industri dan penyedia teknologi.
Katanya, institusi seperti UMS dan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga profesional yang bukan sahaja mahir dalam bidang kesihatan dan teknologi, malah memahami kepentingan perlindungan data serta keselamatan maklumat.
James turut menyatakan keyakinan bahawa Sabah mempunyai potensi besar untuk membangunkan ekosistem kesihatan digital yang inklusif, pintar dan selamat selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
Beliau berharap penganjuran PDPA Connect Sabah 2026 menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kerajaan Negeri Sabah, UMS, HUMS dan sektor industri dalam memperkukuh agenda kepercayaan digital serta perlindungan data di negeri ini.






