KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang didakwa ketua “Geng Upik” mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM821,950.
Maslan Sani didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta 613 kerana menerima wang hasil aktiviti haram melalui deposit tunai ke dalam akaun banknya di beberapa lokasi di Sabah antara Januari hingga Disember 2016.
Antara jumlah terlibat ialah RM284,400 di Tawau, RM175,090 di Inanam, RM139,700 di Lahad Datu dan RM129,200 menerusi akaun berasingan, selain beberapa deposit di Api-Api Centre, Bundusan, Jalan Sagunting, 1Borneo dan City Mall.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai wang atau RM5 juta.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar dan Azhier Farhan Arisin.
Mahkamah menetapkan 11 Ogos 2026 untuk sebutan semula kes.






