Vandalisme Pondok Ibadat Putatan: Lima Remaja Ditahan, Tiada Unsur Kebencian

Vandalisme Pondok Ibadat Putatan: Lima Remaja Ditahan, Tiada Unsur Kebencian

0
SHARE

PENAMPANG: Polis menahan lima remaja lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun bagi membantu siasatan kes vandalisme membabitkan sebuah pondok ibadat di Putatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, semua suspek ditahan pada 15 Julai selepas siasatan dijalankan susulan laporan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati perbuatan tersebut adalah tindakan vandalisme semata-mata dan tidak mempunyai kaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 295 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan pihak polis memandang serius sebarang perbuatan khianat melibatkan rumah atau tempat ibadat kerana ia berpotensi menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan gambar dan video berkaitan kejadian sehingga boleh mengganggu siasatan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.