KOTA KINABALU: Program Simfoni Sakinah yang menyaksikan 10 pasangan pengantin berjaya diijabkabulkan di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini berpotensi dijadikan acara tahunan, selain diperluaskan ke beberapa daerah di Sabah pada masa hadapan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kejayaan penganjuran julung kali program itu membuktikan pendekatan baharu dalam meraikan pasangan pengantin mendapat sambutan yang amat baik dan wajar diteruskan.
Beliau berkata, JHEAINS akan menjalankan kajian bagi menilai kesesuaian menganjurkan program sama di peringkat bahagian atau daerah bermula tahun hadapan.
“Selepas ini JHEAINS akan membuat kajian berhubung dengan perkara berkenaan. Buat sementara ini kita akan adakan di Kota Kinabalu dan insya-Allah kalau ada ruang dan kesempatan yang lain kita akan buat kajian kalau boleh diadakan di beberapa tempat di peringkat bahagian,” katanya kepada media selepas Majlis Simfoni Sakinah di SICC, di sini, hari ini.
Arifin berkata, program berkenaan mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya pasangan pengantin diraikan secara rasmi di SICC, selain proses akad nikah dikendalikan oleh barisan tokoh agama negeri.
Menurutnya, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bertindak sebagai jurunikah, khutbah nikah disampaikan Timbalan Mufti Sabah, manakala doa dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Sabah sebelum pasangan menerima sijil dan kad nikah sejurus selesai akad nikah.
“Saya harap acara seumpama ini akan kita boleh adakan setiap tahun dan melibatkan mereka yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengantin pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan 10 pasangan yang menyertai majlis berkenaan datang dari pelbagai daerah termasuk Sandakan, Keningau, Kota Belud, Papar dan Kota Kinabalu, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat di seluruh negeri.
Mengulas harapannya kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, Arifin mengingatkan mereka supaya menghayati tanggungjawab sebagai suami isteri dalam membina keluarga yang harmoni serta melahirkan generasi soleh dan solehah.
“Saya harap mereka dapat menghayati khutbah yang telah disampaikan berhubung dengan tanggungjawab kita sebagai suami, sebagai isteri dan sebagai satu keluarga yang akan menghadapi kehidupan masa depan untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Itulah tanggungjawab kita kepada Allah SWT, keluarga dan masyarakat,” katanya.






