TERUS BERI SOKONGAN KEPADA SMJ: KM HAJIJI

TERUS BERI SOKONGAN KEPADA SMJ: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (tengah) bergambar bersama ahli DBS selepas selesai majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kesemua ahli Dewan Belia Sabah (DBS) digesa agar terus memberikan sokongan kepada Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau akan memastikan kerajaan yang dipimpinnya terus melakukan yang terbaik untuk negeri dan rakyat Sabah.

“Negeri Sabah tanah air tercinta ini adalah tanggungjawab kita bersama.

“Negeri ini tidak akan maju dalam erti kata yang sebenar sekiranya masih ada warganya terpinggir dalam pembangunan yang dilaksanakan,” katanya pada penutupan Persidangan DBS, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di Dewan Bangkuasi DUN Sabah pada Selasa.

Persidangan DBS yang pertama itu telah berlangsung selama dua hari bermula Isnin dan disertai oleh seramai 79 Ahli DBS, termasuk enam yang dipilih mewakili 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sabah.

Sebanyak sembilan usul telah dipilih untuk dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Belia yang menyentuh pelbagai isu mendasarkan kepada kepentingan rakyat negeri ini khususnya golongan belia.

“Saya mengambil maklum pelbagai kegusaran yang telah dibangkitkan oleh para Ahli DBS semasa perbahasan antaranya mengenai pembangunan infrastruktur asas luar bandar, eko-sistem pembangunan keusahawanan Sabah.

“Selain itu, Pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pemilihan ADUN Lantikan dalam kalangan belia yang diangkat dalam kalangan ahli DBS, isu perundangan, keselamatan, integriti, dan antarabangsa, peluang pekerjaan, Sabah Youth Hub yang memfokuskan pembangunan belia dan kepimpinan dan beberapa usul lain.

“Kerajaan negeri akan meneliti secara terperinci usul-usul yang menjadi keutamaan dan keperluan untuk mengangkatnya ke Persidangan DUN Sabah atau dibincangkan di peringkat Kabinet Negeri Sabah,” katanya pada penutupan Persidangan DBS
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di Dewan Bangkuasi DUN Sabah pada Selasa.

Dalam majlis tersebut, Hajiji menyatakan Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap setiap cabaran yang dihadapi oleh golongan belia hari ini terutamanya kualiti kehidupan pasca Covid-19 yang melibatkan keseluruhan rakyat negeri ini.

Disamping itu, Hajiji turut berharap dengan wujudnya Dewan Belia dapat membantu generasi muda menguasai pelbagai ilmu pengetahuan.

“Selain, membantu mengetahui dan memahami hak sebagai pengundi dan pemegang mandat dalam menentukan kepimpinan negeri dan negara pada masa hadapan serta memastikan belia tahu mengenai tanggungjawab terhadap pembinaan masa depan negeri dan negara.

“Penubuhan DBS merupakan manifestasi dan idea Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah hasil kolaborasi bersama Majlis Belia Sabah dan Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah.

“Ini selaras dengan peranan dan fungsi KBS Sabah untuk melaksanakan program kepimpinan di bawah program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) yang merupakan platform untuk belia mendapatkan latihan dan bimbingan bagi membangkitkan potensi diri sebagai belia kompeten dan berwibawa bagi menjayakan misi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh kerajaan masa kini,” katanya beliau.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dan Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar. — JABATAN PENERANGAN SABAH