MYAirline Sedang Berunding Dengan Dua Pelabur Berpotensi

MYAirline Sedang Berunding Dengan Dua Pelabur Berpotensi

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambah murah, MYAirline Sdn Bhd hari ini, berkata bahawa ia sudah menerima lebih 15 cadangan daripada pelabur berpotensi, dua daripadanya berada dalam peringkat rundingan lanjutan.

Memetik sumber Bernama, syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata ia sedang berusaha sepanjang masa untuk memuktamadkan pakej permodalan semula untuk memulihkan operasinya.

“Ini juga akan memudahkan pembayaran balik wang kepada penumpang yang terjejas serta pembayaran gaji dan pembayaran yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga mengulangi kenyataan bahawa ia tidak menamatkan atau mengarahkan mana-mana kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober lepas sehingga sekarang.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh kakitangan dan memberi jaminan kepada mereka bahawa MyAirline melakukan segala yang mampu untuk menangani masalah mereka. Kakitangan diminta untuk bekerjasama dengan syarikat dalam masa yang sukar ini kerana MyAirline melakukan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

MYAirline menggantung operasinya pada 12 Oktober 2023 kerana masalah kewangan.

Syarikat penerbangan itu berkata, selain menubuhkan ‘Tabung Ihsan’ secara dalaman untuk mengutip derma untuk disalurkan kepada pekerja yang paling terjejas teruk, MYAirline juga turut membuat perjanjian dengan PERKESO untuk pekerjanya memohon Skim Insurans Pekerjaan (EIS) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Mengenai bayaran balik untuk penumpang yang terjejas, MYAirline berkata, ia sudah menerima lebih 30,000 panggilan dan e-mel yang sedang ditangani oleh pasukan khidmat pelanggannya.

Syarikat penerbangan itu berkata, bahawa ia bertujuan untuk membayar balik semua bayaran balik sebaik sahaja menerima pakej permodalan semula daripada pelaburnya.

“Kami akan memberi perkembangan terkini kepada penumpang yang dihargai dan pihak berkepentingan berkaitan mengenai pembayaran tersebut,” katanya.