KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyarankan semua wakil rakyat, ketua jabatan serta pentadbir Kerajaan Negeri mengutamakan buah-buahan tempatan sebagai cenderahati bagi menyokong petani dan industri pertanian Sabah.
Beliau berkata, amalan menggunakan buah-buahan import seperti epal dan anggur sebagai hadiah atau buah tangan wajar dikurangkan dan digantikan dengan hasil tempatan yang mampu memberi manfaat terus kepada pengusaha pertanian negeri.
“Kita mengharapkan semua wakil rakyat dan ketua jabatan menjadi peneraju dalam memajukan serta membantu mempromosikan buah-buahan tempatan.
“Sekiranya melawat orang sakit di hospital, menghadiri majlis perkahwinan atau memerlukan cenderahati, elakkan menggunakan buah-buahan import. Kita mahu menyokong industri buah-buahan tempatan supaya para petani dapat memasarkan hasil mereka dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan di Bilik Media, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Khamis.
Jamawi berkata, kementerian menerusi Jabatan Pertanian Sabah, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan agensi berkaitan boleh membantu mempertingkatkan pembungkusan hasil pertanian agar lebih menarik serta sesuai dijadikan hadiah.
Beliau berkata, kempen promosi hasil tempatan yang dilaksanakan kementeriannya sebelum ini turut mendapat sambutan positif, termasuk inisiatif pengagihan anak ayam, anak itik dan anak puyuh kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, hari ini ramai wakil rakyat memaklumkan mereka sudah menikmati hasil ternakan sendiri. Namun ada juga yang terlalu sayang untuk disembelih kerana sudah menjadi haiwan peliharaan,” katanya sambil berseloroh.
Beliau berkata, program Kebun Dapur yang diperkenalkan kementerian kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan semakin ramai rakyat menunjukkan minat untuk bercucuk tanam, menternak ayam, itik dan puyuh serta menjalankan aktiviti akuakultur secara kecil-kecilan di kawasan rumah.
“Saya mendapat maklum balas yang cukup positif daripada ketua-ketua jabatan apabila mereka turun padang.
“Ada anjakan dalam kalangan masyarakat untuk bercucuk tanam di sekitar rumah bagi meningkatkan sara diri dan menjana pendapatan tambahan melalui penjualan hasil lebihan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan baharu kementerian yang menggerakkan semua jabatan dan agensi secara berpasukan membolehkan pelbagai bantuan berkaitan makanan asas disalurkan dengan lebih berkesan kepada rakyat.
“Saya mahu rakyat mendapat akses kepada beras, sayur-sayuran, ikan, ayam dan sumber protein lain secara terus melalui agensi pertanian kerana sektor ini menyediakan makanan dan sumber kehidupan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Jamawi berkata, kementerian pada asalnya menyasarkan 5,000 pengusaha Kebun Dapur dalam tempoh lima tahun, namun kaji selidik mendapati kira-kira 3,000 individu sudah terlibat dalam aktiviti tersebut dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya.
Berikutan pencapaian itu, beliau berkata, kementerian bercadang memperkenalkan skim insentif atau pengiktirafan khas sempena Hari Peladang tahun ini bagi memberi penghargaan kepada pengusaha yang berjaya.
“Saya telah mengamanahkan Jabatan Pertanian Sabah untuk memantau perkembangan peserta dan mengenal pasti mereka yang berjaya untuk diberikan penghargaan supaya menjadi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Dalam usaha memperluaskan program itu ke kawasan bandar, Jamawi berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Perbandaran Tawau bagi mengenal pasti kawasan tanah kecil atau pocket land yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk flat dan kondominium untuk berkebun.
“Kita sedang menunggu cadangan daripada ketiga-tiga pihak berkuasa tempatan ini supaya pelaksanaannya lebih tersusun dan kemas,” katanya.
Beliau turut memaklumkan program Kebun Dapur akan diperluaskan ke institusi pendidikan mulai tahun hadapan dengan memberi tumpuan awal kepada sekolah yang mempunyai silibus pertanian.
Menurutnya, perbincangan telah diadakan dengan kementerian berkaitan dan peruntukan dijangka disediakan tahun depan bagi tujuan tersebut.
“Mana-mana sekolah yang berminat boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian, Koperasi Pembangunan Desa dan LIGS.
“Pendedahan kepada pelajar sejak awal amat penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai keterjaminan dan keselamatan makanan yang menjadi aspek penting untuk masa depan Sabah,” katanya.






