FESMOD 2026 Perkasa Warisan Budaya Dusun, Kukuhkan Perpaduan Sabah

FESMOD 2026 Perkasa Warisan Budaya Dusun, Kukuhkan Perpaduan Sabah

0
SHARE

TUARAN: Festival Mojumbak Dusun dan Mongigol-Sumayau (FESMOD) 2026 terus menjadi platform penting dalam usaha memelihara, memperkasa dan mewariskan warisan budaya masyarakat Dusun agar terus kekal relevan serta diwarisi generasi akan datang.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, FESMOD bukan sekadar medan mempersembahkan seni dan budaya, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh identiti serta jati diri masyarakat melalui pemeliharaan khazanah warisan negeri.

Mojumbak Dusun dan Mongigol-Sumayau merupakan warisan budaya yang mencerminkan identiti, nilai dan jati diri masyarakat Dusun. Warisan ini perlu terus dipelihara supaya tidak ditelan arus peredaran zaman.

“Kepelbagaian budaya yang dimiliki Sabah merupakan kekuatan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan etnik, justeru usaha memelihara warisan berkenaan memerlukan komitmen serta kerjasama berterusan daripada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan festival tersebut bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Sri Sulaman pada Ahad.

Pada majlis sama, Ghazali turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, peserta, barisan juri, sukarelawan serta semua pihak yang menjayakan FESMOD 2026.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang atas bakat, komitmen dan usaha yang dipamerkan sepanjang festival berlangsung.

Katanya, festival itu diharapkan terus menjadi acara tahunan yang mampu memartabatkan seni budaya tempatan, memperkukuh perpaduan rakyat serta memastikan warisan budaya Sabah terus kekal subur sebagai kebanggaan generasi masa depan.