Anak Sabah Cipta Sejarah, Aydiel Dinobat Juara Dunia Dance World Cup 2026

Anak Sabah Cipta Sejarah, Aydiel Dinobat Juara Dunia Dance World Cup 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Anak Sabah, Mohd Aydiel Izzuddin Madri mencipta sejarah membanggakan apabila dinobatkan sebagai juara dunia pada Dance World Cup Finals 2026 yang berlangsung di Dublin, Ireland, baru-baru ini.

Aydiel berjaya meraih tempat pertama dalam kategori Senior Solo National and Folklore (Lelaki) selepas menewaskan pencabar dari pelbagai negara, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas tarian dunia.

Kejayaan itu menjadi lebih bermakna apabila beliau turut merangkul penghormatan tertinggi sebagai Grand Finals Winner – Senior Male 2026, iaitu gelaran yang diberikan kepada penari lelaki senior terbaik sepanjang pertandingan berprestij tersebut.

Menurut Yolanda Dance Studio, pencapaian luar biasa itu merupakan hasil dedikasi, ketabahan dan semangat Aydiel selama bertahun-tahun dalam memelihara serta mengangkat budaya Malaysia menerusi seni tarian.

Aydiel bukan sahaja dikenali sebagai penari dan koreografer berbakat, malah merupakan pengasas serta ketua pasukan Illeagle Freedom, yang banyak memberi inspirasi kepada penari muda menerusi kreativiti dan penceritaan budaya dalam setiap persembahan.

Beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Arusan Tari Malaysia dan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh serta mempromosikan seni tari Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kemenangan tersebut membuktikan bahawa anak seni dari Sabah mampu berdiri sama tinggi dengan penari terbaik dunia, selain membawa identiti, budaya dan nama Malaysia ke puncak pentas antarabangsa.

Kejayaan Aydiel bukan sahaja menghadiahkan kebanggaan kepada rakyat Sabah, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus percaya bahawa bakat tempatan mampu mencipta kejayaan di peringkat dunia.