10 Motosikal Disita, 27 Saman Dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan di Kota...

10 Motosikal Disita, 27 Saman Dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Sebanyak 10 motosikal disita manakala 27 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan pengubahsuaian motosikal dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Pan Borneo berhampiran Pantai Emas dan Jalan Sangkir, di sini, pada Jumaat.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa berkata, operasi itu diketuainya bersama 10 anggota BSPT.

Sepanjang operasi, sebanyak 27 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan pengubahsuaian motosikal.

“Sebanyak 10 motosikal turut ditahan di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan orang ramai dan hasil risikan yang mendapati terdapat aktiviti samseng jalanan di kawasan terbabit.

Katanya, operasi itu bertujuan mengesan pesalah trafik di samping meningkatkan kehadiran polis (omnipresense) sebagai langkah pencegahan jenayah di sekitar kawasan pentadbiran IPD Kota Belud.

Mohd Firdaus berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri ketika berada di jalan raya demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.