BEAUFORT: Tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penjolok besi untuk mengambil buah kelapa dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa yang masing-masing berusia 40, 29 dan 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, PPgB Ishak Jabas, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.56 petang sebelum sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan terdapat tiga anggota PDRM terkena renjatan elektrik. Menurut saksi, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menggunakan penjolok besi untuk mengambil buah kelapa sebelum terkena kabel elektrik.
“Bekalan elektrik di kawasan kejadian kemudiannya diputuskan oleh Sabah Electricity bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebelum ketibaan bomba, orang awam bertindak menggunakan dua unit alat pemadam api jenis serbuk bagi membantu mengawal keadaan.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian memasang sawar keselamatan, membuat penilaian di lokasi dan membantu pihak polis menguruskan mangsa sebelum diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam,” katanya.
Operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.






