KUALA LUMPUR: Projek pembinaan parkir bertingkat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu disasarkan mula dilaksanakan pada 2028 bagi menangani masalah kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas yang berlarutan di hospital berkenaan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan cadangan itu dirancang untuk dilaksanakan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan kerja-kerja awal projek dijangka siap pada suku keempat 2026.
Perkara itu dimaklumkan KKM menerusi jawapan kepada soalan lisan Senator Datuk Phoong Jin Zhe di Dewan Negara pada Selasa lalu (4 Ogos) berhubung perancangan kerajaan membina parkir bertingkat di HQE.
Menurut KKM, HQE ketika ini hanya mempunyai 1,089 petak parkir berbanding lebih 2,000 kenderaan yang memasuki kawasan hospital setiap hari.
“KKM kini sedang melaksanakan kerja-kerja awal bagi projek menaik taraf blok klinikal dan blok sokongan baharu yang turut merangkumi cadangan pembinaan parkir bertingkat.
“Kerja awal dijangka siap pada suku keempat tahun 2026, manakala pelaksanaan projek disasarkan bermula pada tahun 2028,” menurut jawapan kementerian itu.
Mengulas perkara berkenaan, Phoong berkata pelaksanaan projek berkenaan perlu dipercepatkan memandangkan masalah kekurangan parkir di HQE sudah berada pada tahap serius dan berlarutan sejak sekian lama.
Menurutnya, HQE merupakan antara hospital kerajaan terpenting di Sabah dan menerima kehadiran pesakit, ahli keluarga serta petugas kesihatan dari seluruh negeri setiap hari.
Beliau berkata keadaan itu memberi kesan terutama kepada warga emas dan pesakit yang mempunyai masalah pergerakan, selain menyebabkan ahli keluarga terpaksa mengambil masa lama mencari tempat letak kereta.
“Saya berharap kali ini ia bukan lagi sekadar janji atau perancangan di atas kertas. Keperluan untuk membina parkir bertingkat sudah lama wujud dan tidak boleh terus ditangguhkan,” katanya.
Phoong yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata, beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada 2025 berhubung perkara itu dan ketika itu kementerian mengesahkan hasrat membina parkir bertingkat di HQE.
Sementara menunggu pelaksanaan projek, KKM turut mengambil beberapa langkah jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan, termasuk menyusun semula aliran trafik dalam kawasan hospital dan memperketat penguatkuasaan larangan parkir di laluan ambulans serta kecemasan.
Langkah lain termasuk menambah baik sistem turun naik penumpang bagi kenderaan awam dan e-hailing serta memperluaskan perkhidmatan bas awam ke HQE menerusi lapan laluan tambahan yang mula beroperasi sejak Jun lalu.
Phoong berkata beliau akan terus membangkitkan perkembangan projek berkenaan di Parlimen bagi memastikan pelaksanaannya dipercepatkan dan peruntukan disalurkan mengikut jadual.






