KOLEJ VOKASIONAL KENINGAU BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT MELALUI KEMAHIRAN DAN KREATIVITI

KOLEJ VOKASIONAL KENINGAU BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT MELALUI KEMAHIRAN DAN KREATIVITI

0
SHARE
Pasukan KV Keningau diketuai Marklin Muilin beserta pelajar dan penjaga Madrasah Nur Ikhwan.

KENINGAU, 12 Ogos 2026: Kira-kira 250 pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau melaksanakan program khidmat komuniti di beberapa lokasi sekitar daerah ini sebagai sebahagian usaha menyumbang kemahiran dan tenaga kepada masyarakat setempat.

Program yang berlangsung dari 22 hingga 25 Julai 2026 itu melibatkan tiga lokasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bulu Silou, Madrasah Nur Ikhwan dan Persatuan Orang Pekak Sabah Cawangan Keningau.

Pelajar Seni Kulinari mengajar penjaga Madrasah Nur Ikhwan menyediakan kuih tradisional.

Khidmat komuniti tersebut merupakan antara penilaian utama bagi kursus khidmat komuniti yang wajib diambil pelajar pada tahun ketiga pengajian di kolej berkenaan.

Para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut program vokasional masing-masing dan dikehendaki terlebih dahulu merancang serta menyediakan kertas cadangan mengenai khidmat yang ingin dilaksanakan.

Aktiviti yang dijalankan merangkumi perkhidmatan secara langsung kepada kumpulan penerima tertentu, kerja menaik taraf dan membaiki kemudahan awam serta pelaksanaan aktiviti berkaitan alam sekitar dan pendidikan.

Pelajar Teknologi Kimpalan membaik pulih tiang gol SK Bulu Silou.

Pelajar yang terlibat terdiri daripada sembilan program Diploma Vokasional iaitu Teknologi Automotif, Teknologi Kimpalan, Teknologi Pembinaan, Teknologi Elektrik, Kosmetologi, Seni Kulinari, Bakeri dan Pastri, Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta Pengurusan Perniagaan.

Di Madrasah Nur Ikhwan, pelajar menjalankan pelbagai aktiviti termasuk rawatan kuku tangan, kerja landskap dan aktiviti memasak secara gotong-royong.

Mereka turut mengadakan aktiviti pendidikan dan permainan bersama kanak-kanak serta penjaga di madrasah berkenaan.

Sementara itu, kumpulan pelajar yang ditempatkan di SK Bulu Silou menjalankan kerja pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan sekolah, menghasilkan mural serta mengadakan aktiviti pendidikan bersama murid-murid.

Pelajar Teknologi Pembinaan memasang atap di pondok rehat SK Bulu Silou.

Di Persatuan Orang Pekak Sabah Cawangan Keningau, pelajar pula melaksanakan kerja mengecat bahagian luar bangunan dan landskap, selain menyumbangkan barangan serta bantuan kewangan yang dikumpulkan daripada orang ramai khusus untuk pusat berkenaan.

Guru penyelaras subjek, Marklin Muilin, menyifatkan komitmen yang ditunjukkan para pelajar sebagai sesuatu yang membanggakan kerana mereka bukan sahaja menggunakan kemahiran yang dipelajari, malah berpeluang berbakti secara langsung kepada masyarakat.

Sebelum pelaksanaan program tersebut, Unit Pendidikan Moral yang diketuai Irene Bianus turut menganjurkan pertandingan pembentangan projek khidmat komuniti.

Setiap pasukan membentangkan perancangan serta impak sosial yang dijangka daripada projek masing-masing selepas melakukan lawatan awal ke lokasi komuniti sasaran.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, memuji keprihatinan dan dedikasi para pelajar dalam menyelaras setiap aktiviti dengan bimbingan guru.

Beliau turut menyokong usaha pelbagai jabatan di kolej berkenaan dalam memastikan pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran teknikal dan vokasional, malah memahami nilai tanggungjawab sosial, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Program berkenaan secara tidak langsung memberi ruang kepada pelajar KV Keningau mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam situasi sebenar, sekali gus membentuk graduan TVET yang bukan sahaja berkemahiran tetapi mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi.

SabahNews – Bebas Bersuara

SHARE
Previous articleMAFFI Sambut Baik Tindakan Terhadap Import Ayam Sejuk Beku Tidak Sah
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.