Jerebu: Orang Ramai Dinasihat Kurangkan Aktiviti Luar, Pakai Pelitup Muka

Jerebu: Orang Ramai Dinasihat Kurangkan Aktiviti Luar, Pakai Pelitup Muka

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Orang ramai khususnya di kawasan terjejas jerebu dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya susulan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan pada Rabu berkata, orang ramai turut dilarang melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos lalu menjadi semakin buruk.

Menurut NRES, fenomena El Niño yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya menyebabkan beberapa kawasan terutama di selatan Semenanjung serta barat dan selatan Sarawak menerima taburan hujan lebih rendah daripada purata.

Keadaan itu, ditambah dengan suhu lebih tinggi, meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu sekiranya cuaca kering berterusan.

“Sehingga jam 3 petang Rabu, sebanyak 11 daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap Tidak Sihat.

“Ia membabitkan Cheras dengan IPU 122, Putrajaya (121), Shah Alam (112), Miri (152), Samalaju (120), Bintulu (154), Sibu (135), Sarikei (161), Sri Aman (158), Samarahan (177) dan Kuching (177).

“Keadaan lebih serius direkodkan di IPD Serian, Sarawak apabila bacaan IPU mencecah 204, iaitu pada tahap Sangat Tidak Sihat,” jelas NRES dalam kenyataan semalam.

Menurut NRES lagi, kemerosotan kualiti udara di Sarawak berpunca daripada kombinasi jerebu merentas sempadan dan kebakaran tempatan.

Antaranya kebakaran di tapak pelupusan sampah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu membabitkan kawasan kira-kira 1.5 hektar serta kebakaran hutan dan belukar seluas kira-kira 100 hektar di Sri Aman.

Operasi pemadaman masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi.

Pemantauan satelit NOAA-20 pada 11 Ogos pula mengesan 12 titik panas di Malaysia, masing-masing satu di Pahang dan 11 di Sarawak, berbanding 60 titik panas di Sumatera dan 354 di Kalimantan.

NRES berkata, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan selatan rantau ASEAN dan keadaan berpanjangan boleh meningkatkan kejadian titik panas serta risiko jerebu merentas sempadan.

Susulan keadaan itu, Tahap Amaran 2 ASEAN yang diaktifkan sejak 3 Ogos lalu memerlukan negara di selatan rantau berkenaan termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Timor Leste mengemukakan laporan harian serta tindak balas kecemasan berkaitan kebakaran dan jerebu.

NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau perkembangan cuaca, kualiti udara serta situasi jerebu dari semasa ke semasa.

Orang ramai turut disaran mengikuti bacaan IPU dan maklumat cuaca rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengetahui keadaan terkini di kawasan masing-masing.