KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menafikan dan menolak penyebaran poster serta propaganda yang mendesak Datuk Redonah Bahanda meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita PGRS, sambil menegaskan beliau kekal mendapat mandat dan kepercayaan kepimpinan serta ahli sayap berkenaan di seluruh Sabah.
Naib Ketua Pergerakan Wanita PGRS, Datuk Aziah Atoh berkata, pihaknya memandang serius penyebaran poster dan naratif yang cuba mempertikaikan kedudukan serta kepimpinan Redonah.
“Pergerakan Wanita PGRS menegaskan bahawa Datuk Redonah Bahanda kekal mendapat mandat serta kepercayaan daripada kepimpinan dan ahli sayap Wanita PGRS di seluruh Sabah.
“Di bawah kepimpinan beliau, Wanita PGRS terus diperkasa untuk bergerak lebih aktif di peringkat akar umbi, khususnya dalam memperluas khidmat kepada rakyat serta memberi perhatian terhadap agenda kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aziah berkata, Wanita PGRS turut menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menggunakan persepsi, propaganda atau naratif tidak berasas yang boleh melemahkan parti dari dalam.
Menurutnya, kekuatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PGRS hanya dapat dipertahankan apabila seluruh kepimpinan serta ahli berdiri teguh sebagai satu pasukan, bukannya mencetuskan perpecahan atau berusaha menjatuhkan pemimpin sendiri.
“Tiada sesiapa yang lebih besar daripada parti. Namun, parti juga tidak akan menjadi lebih kuat jika kita terus sibuk menjatuhkan sesama sendiri.
“Sudah tiba masanya kita mengukuhkan saf, memperteguh perpaduan dan memperluas khidmat kepada rakyat, bukannya meretakkan tembok yang telah kita bina bersama,” katanya.
Beliau berkata, Pergerakan Wanita PGRS akan terus memberi tumpuan kepada kerja di lapangan, termasuk turun padang dan mendekati rakyat bagi memastikan agenda serta perjuangan GRS dan PGRS terus difahami dan dirasai masyarakat.
Pada masa sama, Aziah menyeru seluruh ahli Wanita PGRS supaya kekal tenang, bersatu dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang propaganda atau naratif negatif yang boleh melemahkan semangat serta perpaduan parti.
“Pergerakan Wanita PGRS akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti dan memberi fokus kepada usaha memperkukuh organisasi serta memastikan suara dan khidmat parti terus sampai ke akar umbi,” katanya.






