SANDAKAN: Sebanyak 28 rumah atas air musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Kampung Nunuyan Laut, di sini, kira-kira jam 3 pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi NG999 pada jam 3.50 pagi sebelum 12 anggota digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan 28 rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya dengan anggaran keluasan kawasan terlibat 30 meter kali 200 meter. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bomba turut mendapatkan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menyediakan bot untuk membawa anggota serta peralatan operasi ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Jeti Maritim.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan dan sumber air terbuka daripada air laut.
“Operasi berdepan cabaran cuaca berangin kuat yang menyukarkan pergerakan pasukan ke lokasi kejadian serta menyebabkan api merebak dengan cepat dari sebuah rumah ke rumah yang lain.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.45 pagi dan pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebanyak 162 rumah daripada turut terjejas,” katanya.
Operasi yang turut dibantu empat anggota APMM ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.33 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi bahaya.






