Layanan Berkualiti Cerminan Imej Sabah, Utamakan Profesionalisme Pekerja Hotel – Masidi

Layanan Berkualiti Cerminan Imej Sabah, Utamakan Profesionalisme Pekerja Hotel – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tahap profesionalisme dan kualiti perkhidmatan pekerja sektor perhotelan memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi pelancong terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, layanan mesra dan sikap profesional bukan sahaja mencerminkan imej sesebuah hotel, malah turut mempengaruhi pandangan pelancong terhadap kualiti hospitaliti serta imej Sabah secara keseluruhan.

Kualiti perkhidmatan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan pelancong menerima pengalaman terbaik sepanjang berada di Sabah, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kepuasan mereka serta mendorong untuk kembali berkunjung ke negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Perkasa Hotel Holdings yang diketuai Pengerusinya, Datuk Flovia Ng bersama rombongan di pejabatnya, di sini, pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberikan taklimat mengenai perkembangan operasi, pengurusan dan perancangan Perkasa Hotel Holdings, termasuk usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja melalui latihan serta pembangunan kemahiran secara berterusan.

Masidi berharap usaha berkenaan dapat membantu melahirkan tenaga kerja yang kompeten, seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatan serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti di Sabah.