Tiada Permit, Petrol, LPG dan Minyak Masak Bernilai Lebih RM100,000 Dirampas di...

Tiada Permit, Petrol, LPG dan Minyak Masak Bernilai Lebih RM100,000 Dirampas di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Barangan kawalan bersubsidi membabitkan 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 kilogram minyak masak dirampas di Jalan Inderasabah, di sini baru baru ini, selepas gagal menunjukkan sebarang permit berkaitan pemilikan barangan berkenaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau dalam kenyataan berkata, kes berkenaan diterima menerusi serahan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau pada Selasa.

Menurut KPDN, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux single cab berwarna putih turut dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM104,138.40.

“KPDN Tawau telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan.

KPDN memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi perundangan ditetapkan dan tidak terlibat dalam penyelewengan barang kawalan,” menurut kenyataan itu.

KPDN berkata, jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

KPDN turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

“Sebarang cubaan menyeleweng atau menyalahgunakan minyak diesel adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan tanpa kompromi,” menurut kenyataan itu.