LABUAN: Seorang mangsa di Labuan kerugian RM112,500 selepas terpedaya dengan sindiket love scam membabitkan seorang lelaki yang menyamar sebagai juruterbang dari Amerika Syarikat menerusi aplikasi TikTok.
Polis Daerah Labuan dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan suspek menerusi platform media sosial berkenaan sebelum kedua-duanya menjalinkan hubungan percintaan secara dalam talian.
Menurut polis, suspek kemudiannya memberitahu mangsa bahawa dia mahu menghantar sebuah bungkusan atau parcel kepadanya.
“Pada 25 Ogos 2026, mangsa telah dihubungi seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pengurus sebuah syarikat penghantaran dan mendakwa bungkusan tersebut telah ditahan di sempadan Singapura dan Malaysia.
“Mangsa kemudiannya diminta membuat beberapa bayaran bagi tujuan pelepasan bungkusan tersebut. Suspek turut mendakwa bungkusan berkenaan mengandungi wang tunai berjumlah USD447,000,” menurut Polis Daerah Labuan dalam kenyataan di sini, semalam.
Terpedaya dengan helah berkenaan, mangsa membuat beberapa transaksi ke akaun bank yang diberikan sehingga mengalami kerugian keseluruhan RM112,500.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek menyekat nombor telefonnya dan tidak lagi dapat dihubungi selepas pembayaran berkenaan dibuat.
Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis Labuan dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berkenalan dengan individu menerusi media sosial, terutama mereka yang menggunakan hubungan percintaan sebagai alasan untuk mendapatkan wang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya, tidak membuat sebarang pembayaran kepada individu yang tidak dikenali serta melakukan semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” menurut kenyataan itu.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah komersial supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.






