Dua Beradik Bersama Sepupu Rentung Dalam Kebakaran di Kg Lok Buta, Lebih...

Dua Beradik Bersama Sepupu Rentung Dalam Kebakaran di Kg Lok Buta, Lebih 200 Rumah Musnah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tiga kanak-kanak termasuk sepasang adik-beradik ditemukan rentung dalam kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 202 rumah setinggan atas air di Kampung Lok Buta, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Asrul Abdullah, 6, dan adiknya Nana Abdullah, 4, manakala seorang lagi mangsa ialah sepupu mereka, Nurfarahdilah Mohd Tajihah, 8.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, PKPjB Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.40 pagi sebelum pasukan pertama tiba di lokasi pada jam 1.54 pagi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan kawasan penempatan rumah atas air jenis tidak kekal dengan anggaran awal kira-kira 202 rumah terjejas, meliputi kawasan dianggarkan seluas 260 x 380 kaki.

Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.30 pagi.

“Operasi turut menggunakan teknik pemadaman secara offensive, termasuk dua pancutan air bagi Sektor A sejauh kira-kira 1,000 kaki dengan sumber air terbuka,” katanya.

Mohd Pisar berkata, pasukan bomba turut melakukan fire break dengan meruntuhkan empat buah rumah bagi memutuskan laluan api dan menghalang kebakaran daripada terus merebak.

Katanya, tiga kanak-kanak pada awalnya dikhuatiri hilang sebelum kesemua mereka ditemukan oleh pasukan bomba dalam keadaan rentung.

“Kesemua mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki. Mangsa yang terkorban ialah Mohd Asrul Abdullah, enam tahun; Nana Abdullah, empat tahun; dan Nurfarahdilah Mohd Tajihah, lapan tahun,” katanya.

Seramai 55 anggota terbabit dalam operasi itu melibatkan BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas, BBP Penampang, BBP Tuaran serta anggota Ibu Pejabat JBPM Sabah.

Operasi diketuai Komander Operasi Kanan, PKPgB Mohd Hannis Moktar bersama Komander Operasi, PBK I Idy Nirwan Illyas, selain turut disertai pegawai kanan JBPM Sabah dan Zon 1.

Aset yang digerakkan merangkumi empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua water tanker, tiga Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM), sebuah kenderaan Fortuner Ibu Pejabat dan sebuah kenderaan utiliti Zon Kota Kinabalu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity turut berada di lokasi bagi membantu operasi.

Jumlah sebenar rumah yang musnah serta maklumat lanjut berkaitan kejadian masih dalam proses pengesahan, manakala kerja pemadaman dan overhaul diteruskan di lokasi.