KOTA KINABALU: Kontinjen Kementerian Kewangan Negeri (MOF) Sabah mencipta sejarah apabila muncul juara kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Negeri) pada Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) 2026 di Dataran Bandaraya, di sini, kelmarin.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila menjadi kejuaraan pertama MOF Sabah sejak mula menyertai perbarisan berkenaan sekitar awal 2007.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai sesuatu yang membanggakan dan mencerminkan semangat berpasukan serta komitmen warga kementerian.
“Tahniah kepada seluruh Kontinjen Kementerian Kewangan Negeri Sabah atas kejayaan bersejarah ini. Kejuaraan ini adalah hasil disiplin, komitmen dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan anggota kontinjen,” katanya.
Kontinjen MOF Sabah yang dibarisi 40 anggota berjaya mengatasi 18 pencabar lain dalam kategori berkenaan yang menyaksikan penyertaan keseluruhan 19 kontinjen.
Jabatan Ketua Menteri (JKM) menduduki tempat kedua, manakala Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) di tempat ketiga.
Sementara itu, Pengurus Kontinjen MOF Sabah, Ak Norfareez Pg Narudin berkata, kejayaan berkenaan disambut dengan penuh keterujaan dan kegembiraan kerana mereka tidak menyangka mampu membawa pulang kejuaraan.
Menurutnya, persiapan kontinjen bermula sebelum Ramadan sebagai persediaan bagi perbarisan sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah sebelum latihan diteruskan semula pada Mei dan Jun, setiap Selasa dan Khamis.
“Bermula Julai dan Ogos, latihan dipertingkatkan kepada setiap hari dari jam 3 hingga 4.30 petang sebagai persediaan menghadapi perbarisan HKHS 2026,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama sepanjang tempoh persiapan ialah memastikan semua anggota dapat menghadiri latihan mengikut jadual berikutan tuntutan tugas hakiki dan tugasan tambahan.
“Kesibukan kerja hakiki dan tugas-tugas tambahan menjadikan komitmen ahli untuk turun berlatih agak sukar. Namun, dengan kerjasama dan sokongan semua pihak, latihan dapat diteruskan sehingga membuahkan hasil,” katanya.
Norfareez yang juga Pegawai Pentadbiran turut merakamkan penghargaan kepada Masidi serta Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ben Chong Chen Bin dan Dato’ Sr Mohd Ishak Datuk Ayub atas sokongan, kepercayaan dan bimbingan yang diberikan kepada kontinjen.
Penghargaan turut diberikan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Timbalan Setiausaha Tetap, Anthea James Jipanus; Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan), Datuk Chee Shok Ting; Dayang Selha Ibrahim selaku Ketua Jawatankuasa HKHS serta semua ahli jawatankuasa dan pihak yang membantu kontinjen.
Norfareez berkata, sekiranya diberikan kepercayaan sekali lagi untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengurus kontinjen, pihaknya akan berusaha mempertahankan kejuaraan berkenaan.
“Untuk mengekalkan kejuaraan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan sokongan dan dorongan daripada semua pihak, saya percaya Kontinjen MOF Sabah mampu memberikan yang lebih baik bagi mengekalkan kejuaraan tersebut pada tahun seterusnya,” katanya.






