KOTA KINABALU: Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa individu dikenali sebagai Jestie Alexius merupakan pegawai atau kakitangan pejabat berkenaan.
Penafian itu dibuat susulan penyebaran sebuah poster di media sosial yang memberi gambaran seolah-olah individu terbabit telah dilantik sebagai sebahagian daripada warga kerja PHEDNP.
Menurut kenyataan rasmi PHEDNP, Jestie tidak pernah dilantik, diambil bekerja atau diberikan kuasa untuk mewakili pejabat berkenaan dalam sebarang urusan rasmi.
PHEDNP turut menegaskan bahawa sebarang penggunaan nama, jawatan, identiti, logo atau pengenalannya oleh individu yang tidak diberikan kuasa adalah tidak mewakili pejabat tersebut dan tidak boleh dianggap sebagai urusan rasmi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai, berurusan atau memberikan sebarang maklumat serta dokumen kepada individu berkenaan atas kapasiti yang didakwa sebagai pegawai PHEDNP.
Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyamaran atau penyalahgunaan identiti PHEDNP melalui WhatsApp di 088-369403 atau e-mel phendp@sabah.gov.my.






