KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak susulan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
“Langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
PMO berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dari semasa ke semasa bagi memastikan segala tindakan yang diperlukan dapat dilaksanakan dengan segera.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksana dengan segera, termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai,” katanya.
Pengisytiharan darurat itu membolehkan langkah lebih berkesan diambil bagi menangani keadaan jerebu di Serian, dengan keutamaan diberikan kepada perlindungan kesihatan, keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas.






