Diplomasi Hajiji Bawa Pulang Hasil, Bukan Sekadar Bunyi Tin Kosong – Aksyah

Diplomasi Hajiji Bawa Pulang Hasil, Bukan Sekadar Bunyi Tin Kosong – Aksyah

0
SHARE

KINABATANGAN: Pendekatan diplomasi tegas dan matang Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam rundingan bersama Kerajaan Persekutuan terbukti membawa hasil nyata kepada Sabah, berbanding politik konfrontasi yang hanya mengeruhkan hubungan tanpa memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kinabatangan, Aksyah Nasrah berkata, ketegasan Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu memperlihatkan kewibawaan kepimpinan Sabah dalam mempertahankan hak negeri.

Menurutnya, pendekatan itu turut disokong pandangan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan DUN Sabah, Datuk Masiung Banah bahawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak 40 peratus hasil bersih Sabah dan penambahan kerusi Parlimen perlu diperjuangkan melangkaui batas kepartian.

“Ada masanya kita boleh berpolitik, tetapi apabila menyentuh MA63, hak 40 peratus hasil bersih dan penambahan kerusi Parlimen, semua pihak mesti meletakkan senjata politik masing-masing.

“Ini bukan soal parti, tetapi soal maruah dan hak mutlak rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Aksyah berkata, tindakan Hajiji menyuarakan tuntutan Sabah secara bersemuka dan tegas kepada Perdana Menteri membuktikan bahawa diplomasi berwibawa lebih berkesan berbanding politik jeritan dan konfrontasi.

“Politik jeritan kosong tidak membawa pulang apa-apa hasil selain hubungan yang tegang dengan Persekutuan.

“Sebaliknya, Ketua Menteri menggunakan saluran diplomasi yang matang dan menuntut dengan tegas supaya hak 40 peratus hasil Sabah disegerakan tanpa sebarang dolak-dalik,” katanya.

Beliau berkata, kelulusan Geran Khas Interim sebanyak RM1.5 bilion pada tahun ini merupakan antara hasil nyata daripada rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah berkenaan bukan penyelesaian muktamad kepada tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.

“RM1.5 bilion itu hanyalah pembayaran interim atau sementara untuk memenuhi keperluan pembangunan rakyat Sabah ketika ini.

“Tuntutan hakiki 40 peratus hasil bersih Sabah tetap diteruskan dan tidak akan sesekali dikompromi oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Aksyah turut menyifatkan persetujuan untuk meminda Perlembagaan bagi menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sebagai perkembangan penting dalam usaha memperkukuh perwakilan kedua-dua wilayah di Dewan Rakyat.

Katanya, usaha itu bermatlamat mengembalikan kedudukan satu pertiga suara Sabah dan Sarawak supaya kepentingan kedua-dua wilayah tidak mudah diketepikan dalam proses membuat keputusan di peringkat nasional.

“Manfaat daripada penambahan kerusi dan dana berbilion ringgit ini bukan hanya dinikmati penyokong GRS, tetapi seluruh rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik.

“Justeru, perkara berkaitan hak Sabah sepatutnya menerima sokongan semua pihak dan bukannya terus dijadikan bahan pertikaian politik,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan rundingan berkenaan turut membuktikan kepentingan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan dipacu parti tempatan dalam memastikan suara Sabah dihormati Kerajaan Persekutuan.

“Perjuangan ini melangkaui batas kepartian dan sewajarnya disokong oleh seluruh anak watan yang cintakan Sabah,” katanya.