Simen Lourds Lancar Buku ‘Heart Of The Flying Fox’, Ketengah Fakta Sejarah...

Simen Lourds Lancar Buku ‘Heart Of The Flying Fox’, Ketengah Fakta Sejarah Kluang

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penulis Simon Lourds Samy melancarkan buku terbaharunya berjudul Kluang: Heart of the Flying Fox, hasil daripada kajian mendalam yang dimulakan sejak tahun 2021 ketika tercetusnya pandemik COVID-19.

Buku yang menggabungkan fakta sejarah sebenar serta pandangan penduduk tempatan itu diterbitkan bagi mengetengahkan keistimewaan Kluang yang sarat dengan nilai muhibah masyarakat pelbagai kaum.

Menurut Simon, penulisan mengenai sejarah sesebuah bandar menuntut ketepatan fakta yang tinggi dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

Beliau turut memperbetulkan tanggapan sejarah popular yang sering keliru mengenai pengasas sebenar pentadbiran bandar tersebut.

“Orang yang mendirikan bandar Kluang ialah British. Mereka datang sini pada tahun 1915 dan masa itu mereka berunding dengan Sultan Johor dan bilang Kluang harus menjadi bandar pentadbiran macam capital.

“Tokoh perniagaan seperti Gan Kian Wee atau Lee Kong Chian adalah orang yang buat perniagaan dan mendirikan perniagaan mereka untuk membantu membangunkan bandar Kluang, tapi mereka bukan orang yang mula-mula membina bandar Kluang. Sejarah itu mesti tepat, kita tidak boleh suka-suka cerita,” katanya pada sidang media di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Simon berkata kajian beliau turut meneliti peranan ladang, rangkaian jalan kereta api yang menjadi nadi perhubungan utara dan selatan, serta keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa di Kluang seperti Melayu, Cina, India dan Punjabi yang saling membantu.

Beliau turut mengimbau kenangan membesar berhampiran Gunung Lambak serta didikan bapa saudaranya, Mani Kedas, yang kini berusia 93 tahun.

Meskipun berhijrah ke Singapura pada era 1970-an demi mencari rezeki dan kerjaya sebagai guru, Simon menegaskan bahawa jiwa dan rohnya kekal di Kluang.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan bahawa sebahagian besar hasil jualan buku tersebut akan disumbangkan kepada badan amal dan kebajikan.

Antara penerima manfaat termasuklah Miriam Home (yang diasaskan oleh mendiang Padre Father Rayappen Loods yang pernah membela keluarganya dahulu), Pertubuhan Anak-Anak Yatim Damo di Kluang, Rumah Orang Tua, serta Kelab Kiwanis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong utamanya, Datuk Seri Gary Chua Kasim, yang juga rakan sekelas sewaktu darjah satu, atas sokongan moral dan kewangan dalam menjayakan penerbitan buku bersejarah berkenaan.

“Datuk Seri Gary Chua Kasim bukan sahaja menyayangi saya, malah beliau merasakan pelancaran buku tentang bandar kami, bandar Kluang, adalah satu sejarah penting bukan sahaja untuk Kluang, tetapi juga dalam lipatan sejarah Malaysia,” tambahnya.