PAPAR: Sebanyak 90 unit tukun tiruan dilabuhkan di sepanjang perairan Papar dalam usaha memperkaya sumber perikanan serta membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan setempat.
Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan Program Melabuh Modul Ladang Ikan di Laut (LIDL) itu bermakna kerana projek tukun tiruan di kawasan berkenaan kali terakhir dilaksanakan pada 2010.
“Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Sabah, projek tukun tiruan terakhir di kawasan perairan Papar dilaksanakan pada tahun 2010, melibatkan 18 unit tukun dan komuniti nelayan di lima buah kampung.
“Setelah lebih 15 tahun, terdapat kemungkinan besar tukun tersebut telah tenggelam atau tertimbus dan tidak lagi berfungsi secara optimum,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, Rabu.
Armizan berkata, keadaan itu antara perkara yang dibangkitkannya dalam surat bertarikh 21 Januari 2026 kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mempertimbangkan permohonan peruntukan bagi projek tukun baharu.
Beliau turut menyusuli perkara itu bersama kementerian berkenaan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Sabah.
Menurutnya, tukun baharu dilabuhkan berhampiran kawasan pesisir beberapa kampung, antaranya Kampung Kuala, Kampung Pengalat Besar dan Kampung Beringgis, untuk dimanfaatkan nelayan dari kampung sekitar.
Pelbagai jenis tukun disediakan mengikut kesesuaian sumber marin, merangkumi tukun ikan, sotong dan udang kara.
“Selain menyediakan habitat serta kawasan pembiakan hidupan laut, inisiatif ini diharapkan dapat mewujudkan kawasan tangkapan yang lebih produktif untuk manfaat nelayan setempat,” katanya.
Armizan yang berada di Putrajaya atas urusan kerja rasmi berkata, beliau diwakili Setiausaha Sulitnya, Datuk Roslie Ibrahim, pada program di Papar itu. Beliau turut berterima kasih kepada LKIM kerana merealisasikan projek berkenaan.






