Kompleks Sukan Sook Bernilai RM15 Juta Dijangka Siap 2029 – Arthur

Kompleks Sukan Sook Bernilai RM15 Juta Dijangka Siap 2029 – Arthur

0
SHARE
Gambar Hiasan (AI)

SOOK: Penantian penduduk Sook untuk memiliki kemudahan sukan moden bakal berakhir apabila Projek Pembinaan Kompleks Sukan Sook bernilai RM15 juta, yang bermula pada 1 Ogos lalu, dijangka siap sepenuhnya pada 1 Ogos 2029.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata projek di tapak seluas tujuh ekar itu merangkumi pembinaan padang bola sepak, trek sintetik lapan lorong dan tempat duduk penonton utama atau grandstand yang turut menempatkan ruang pejabat pentadbiran.

Kompleks berkenaan juga akan dilengkapi gelanggang serbaguna berbumbung dan kawasan tempat letak kereta. Skop kerja luarnya meliputi perparitan air permukaan, pagar perimeter, loji rawatan kumbahan, tangki simpanan air, fasiliti utiliti serta kerja pemulihan kawasan.

Projek ini merupakan antara keutamaan saya apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri untuk mempercepatkan beberapa perancangan yang telah bermula sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Arthur berkata, pelaksanaan projek itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan menyediakan kemudahan untuk rakyat.

Menurutnya, kompleks tersebut dijangka merancakkan aktiviti gaya hidup sihat, khususnya dalam kalangan belia.

“Apabila kompleks ini siap kelak ia akan menjadi pusat utama penganjuran pelbagai acara sukan serta mampu mencungkil bakat baharu yang akan mengharumkan nama Sook di persada yang lebih tinggi,” katanya.