KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemansuhan adalah berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas rakyat.
Beliau berkata, ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun boleh membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.
Katanya, bagi ahli yang sudah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.
“Langkah ini diharap dapat membantu ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM5,000.
Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 pula, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 atau maksimum RM60,000.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.
Tengku Zafrul berkata, berikutan perubahan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan ini.
“Perincian mendalam mengenai perkara itu akan diumumkan KWSP dalam masa terdekat. Kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan…
“Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih bertujuan menipu atau mengelirukan,” katanya.