RANAU, SABAH – Kes buli pelajar yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah Ranau sini melalui video yang tular di media sosial didakwa berpunca daripada menghisap rokok elektronik ataupun ‘vape’.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan 10 pelajar di sekolah berkenaan untuk membantu siasatan.
“Lima pelajar ditahan semalam, manakala lima lagi ditahan hari ini…
“Semua pelajar yang ditahan berusia 15 hingga 17 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua pelajar kini dalam tahanan polis di dalam lokap dan akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan ke atas mereka selesai.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 3 Ogos lalu sebelum tular di media sosial semalam…
“Siasatan awal juga mendapati punca kejadian dipercayai pelajar yang memukul dikatakan tidak berpuas hati dan marah kepada mangsa (pelajar) yang penghisap vape kerana menyusahkan pelajar asrama yang lain,” katanya.
Simiun berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.
Terdahulu, tular video berdurasi 5 minit 33 saat di media sosial Facebook dan sebaran pada aplikasi whatsapp yang memaparkan kejadian buli menunjukkan sekumpulan pelajar menendang, menumbuk dan menampar beberapa pelajar lain satu persatu.