KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran RoboNeo 2022 merupakan perancangan pembangunan bakat STEM bersepadu yang menjadi platform menyemai pembudayaan dan pengaplikasian Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat akar umbi.
Penganjuran program itu membuktikan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ( KSTI) Sabah sentiasa komited dan konsisten dalam mendukung agenda nasional…
Menteri KSTI Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, usaha itu memperkasakan komponen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Pelan Tindakan STEM Nasional sememangnya termaktub dalam Pelan Strategik KSTI.
“RoboNeo merupakan program tahunan anjuran Kementerian yang diadakan sejak diadakan tahun 2014 dan semasa Pandemik kita tetap teruskan program ini dengan pendekatan yang berbeza.
“Alhamdulillah tahun ini, kita dapat melaksanakan program secara fizikal dan memberi peluang sekali lagi kepada pada pelajar dan pencinta robotik untuk merasai dan belajar secara hands on,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perancangan Dan Pembudayaan Sains, KSTI, Musleha Khairunisa Muluk.
Yang turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Inovasi dan Teknologi Digital (ITD), Lakinah Tangkoko dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Pembangunan dan Penyelidikan Marshal Anthony.
Beliau berkata, ROBONEO juga merupakan satu platform Robotik yang bertujuan untuk merangsang pelajar menyelesaikan masalah melalui pemikiran kreatif, logik dan di luar sempadan.
Katanya, ia juga mampu meningkatkan kepakaran menggunakan peralatan berteknologi seperti memprogramkan komputer, membina dan merekacipta robot, menguasai bidang matematik, sains, komputer, seni dan bahasa.
“Program ini juga secara tidak langsung dapat menyemai semangat berpasukan, meningkatkan kebolehan berkomunikasi dan mengasah bakat kepimpinan serta memupuk kebolehan untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengaturcara dan Pembina ICT Sabah, (Kinabalu Coders), Edham Arief Dawillah berkata, program ini dapat mencungkil bakat baru dalam bidang teknologi dan inovasi khususnya robotik serta pengaturcaraan komputer.
Katanya, kita mengharapkan lebih banyak program seumpama ini akan dapat dijayakan dari semasa ke semasa.
“Penganjuran ini memerlukan dana dan sokongan sumber yang berterusan. Oleh demikian, kita berharap lebih ramai pihak akan tampil membantu dalam usaha memajukan bidang teknologi seperti ini,” tegasnya.