KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua lelaki, masing-masing seorang penjawat awam dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000 bagi memudahkan operasi perlombongan emas sebuah syarikat di negeri ini.
Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 60-an ditahan kira-kira jam 10 pagi pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu sepanjang 2024 dan 2025, serta dipercayai menerima wang berkenaan secara tunai.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009,” katanya, semalam.
Kedua-dua suspek dijadual dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 28 September ini.




