KOTA KINABALU: Kenderaan yang ditunda Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan tidak dituntut selepas 30 hari akan berdepan proses lucut hak sebelum dilelong sekiranya pemilik masih gagal mengambil kenderaan berkenaan.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, tindakan menunda kenderaan yang dilaksanakan sejak April tahun ini diteruskan bagi menangani kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur termasuk parkir berganda dan di pembahagi jalan.
Menurutnya, berdasarkan rekod Jabatan Penguatkuasaan DBKK, sebanyak 1,385 kenderaan sudah ditunda sejak pelaksanaan tindakan berkenaan pada April sehingga kelmarin, manakala 52 kenderaan sudah melalui proses lucut hak.
“Bagi kenderaan yang tidak dituntut, kita akan simpan selama 30 hari dan selepas itu proses lucut hak akan dilaksanakan. Jika masih tidak diambil, kenderaan itu akan dilelong.
“Setakat ini, sebanyak 52 kenderaan sudah melalui proses berkenaan, manakala jumlah keseluruhan kenderaan yang ditunda tahun ini sehingga kelmarin ialah 1,385 kenderaan,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Sabin berkata, tindakan menunda bukan bertujuan semata-mata untuk mengenakan bayaran kepada pengguna, sebaliknya sebagai langkah pencegahan supaya orang ramai mematuhi peraturan parkir di kawasan bandar raya.
Katanya, DBKK juga tidak terus menunda sesebuah kenderaan apabila mengesan kesalahan, sebaliknya memberikan amaran terlebih dahulu menerusi siren dan pembesar suara bagi meminta pemilik mengalihkan kenderaan.
“Kereta tunda tidak akan terus menunda. Mereka akan membuat pengumuman terlebih dahulu dan meminta pemilik mengalihkan kenderaan.
“DBKK sebenarnya tidak mahu membebankan mereka untuk membayar kompaun. Tindakan ini lebih kepada deterrent. Kalau boleh, kami minta mereka meletakkan kenderaan di lot parkir yang tersedia,” katanya.
Menurutnya, Kota Kinabalu mempunyai kira-kira 20,000 lot parkir termasuk kira-kira 4,000 lot di kawasan luar bangunan.
Sabin berkata, antara masalah yang masih berlaku ialah pengguna memilih untuk meletakkan kenderaan secara parkir berganda atau di pembahagi jalan walaupun kemudahan parkir tersedia.
Beliau memberi contoh kawasan pasar yang mempunyai ruang parkir terhad, namun terdapat kira-kira 400 lot parkir di KK Plaza dengan kadar RM1.
Mengenai bayaran berkaitan tindakan penguatkuasaan itu, Sabin berkata, berdasarkan penjelasan Jabatan Penguatkuasaan DBKK, caj tunda ialah RM350 bagi setiap kenderaan, manakala kompaun kesalahan sebanyak RM100.
Caj penyimpanan pula dikenakan RM150 bagi setiap malam, selain pemilik perlu menyelesaikan tunggakan berkaitan sebelum kenderaan dapat diselesaikan urusan pengambilannya.
Sabin berkata, DBKK berharap orang ramai khususnya mereka yang pertama kali berdepan isu berkaitan parkir mendapatkan penjelasan daripada petugas DBKK atau polis bantuan sekiranya memerlukan bantuan.
Katanya, maklum balas orang ramai terhadap pelaksanaan tindakan tunda sejak April secara keseluruhannya positif, walaupun terdapat juga reaksi negatif.






