KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam percakapan 25 saksi dalam siasatan berhubung dakwaan dua anggotanya dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 28 September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, peruntukan itu membabitkan kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Setakat ini, seramai 25 orang saksi telah dirakam percakapan, terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Mohd Khalid berkata, PDRM memberi jaminan siasatan berhubung insiden berkenaan dilaksanakan secara telus, profesional dan tanpa memihak.
“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan dilaksanakan secara telus, profesional dan tanpa memihak, berasaskan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek kejadian diteliti secara menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 Oktober 2026 untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya.
Katanya, langkah itu dibuat selaras dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Mohd Khalid menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan serta perundangan yang sedang berjalan.






