
SOOK, SABAH – Seramai 20 keluarga menerima kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, semalam.
Penyerahan kunci rumah berkenaan diadakan dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Biah Tengah yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.
20 keluarga yang menerima Rumah Mesra SMJ di kawasan DUN Sook ini terbahagi kepada Mukim Sook ( lima keluarga), Mukim Tiulon ( empat keluarga ), Mukim Dalit (lima keluarga) dan Mukim Ansip (enam keluarga).
Ellron berkata senarai 20 keluarga terbabit merupakan senarai penerima bagi tahun 2022 manakala senarai penerima bagi tahun 2023 dan 2024 sudah ada dan akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat.
“Kita bersyukur satu lagi projek kerajaan negeri yang kita telah laksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Ellron yang juga ADUN Sook turut memaklumkan seramai 300 lagi pemohon di DUN Sook yang telah layak dalam e-Kasih masih menunggu untuk mendapatkan kemudahan ini.
Selain itu, Ellron turut berharap agar penerima kunci Rumah Mesra SMJ ini menghargai usaha murni daripada kerajaan untuk membantu mereka dengan tidak menyalahgunakan kemudahan ini.
“Kita juga ingin mengingatkan kepada penerima agar menghayati dan menghargai sumbangan kerajaan negeri dengan tidak menyalahgunakan kemudahan ini seperti menyewakan dengan orang lain dan ada yang tidak menghuni sama sekali.
“Hal sedemikian akan menghampakan harapan kerajaan negeri.
“Saya berharap perkara sebegini tidak akan berlaku di kawasan DUN Sook,” tambah beliau.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Caroline Benjamin Jiugan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Tony Talasoi.





