Lantikan Komunikasi SESB Untuk Bantu Masyarakat Faham Peranan Syarikat – Madius Bidas...

Lantikan Komunikasi SESB Untuk Bantu Masyarakat Faham Peranan Syarikat – Madius Bidas Junz

0
SHARE
Madius
Madius ketika ditemui pemberita

KOTA KINABALU, SABAH – Ekosistem bekalan elektrik adalah tadbir urus yang kompleks dan tidak mudah difahami tetapi mudah diputar belit.

Pengerusinya Datuk Seri Madius Tangau berkata demikian sebagai penjelasan lantikan sekumpulan lima pegawai komunikasi bagi syarikat utiliti itu.

Beliau membidas pertanyaan Datuk Junz Wong dari Warisan yang mempersoalkan pelantikan terus 13 kakitangan SESB baharu semasa Sidang Dewan Undangan Negeri untuk meminda Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 baru-baru ini.

“Lima, bukan tiga belas (lantikan), bagi memperbetulkan tanggapan salah masyarakat terhadap SESB.

“80 peratus tenaga elektrik di Sabah dijana pengeluar tenaga bebas (IPP) namun mereka enggan membuat pengumuman umum jika pihak mereka mengalami masalah.

“SESB tidak boleh melakukan apa-apa kecuali memikul beban menjelaskannya kepada orang ramai.

“Ini mengakibatkan orang ramai beranggapan bahawa gangguan bekalan tenaga erpunca dari SESB itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata juga terdapat lebih 3,000 kakitangan SESB dan yakin bukan semua memahami langkah kerja pihak pengurusan atasan.

“Apabila kakitangan tidak faham, mereka akan mula membocorkan maklumat palsu dan ada sesetengah pihak yang akan menggunakannya dalam ucapan mereka.

“Tujuan pasukan komunikasi ini adalah bagi meningkatkan keupayaan komunikasi SESB pada semua platform.

“Kami juga bercadang untuk melancarkan beberapa siri video yang mudah difahami,” tambahnya.

Sebagai contoh, Madius berkata, menjelaskan Ketidakseimbangan Kos Laluan (ICPT) kepada masyarakat umum adalah sesuatu yang sangat rumit.

“Ia tidak mungkin dapat difahami sepenuhnya dalam satu sesi. Oleh kerana itu, kita memerlukan penerangan profesional dari sudut perundangan dan kejuruteraan SESB.

“Pasukan saya akan membantu menyampaikan mesej ini secara mudah dan efektif.

“Saya tidak menjawab Junz kerana tiada gunanya,” katanya selepas bertemu sesi industri mengenai pelaksanaan mekanisme ICPT untuk Sabah dan Labuan di Pacific Sutera pada Selasa.