KENINGAU: Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan selepas polis menemui 54.72 gram ketulan hablur disyaki syabu bernilai RM6,019 serta sebilah pedang dalam sebuah Ford Ranger di Sook, pada awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir, berkata tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Keningau menerusi Ops Gempur Khas kira-kira jam 12.05 tengah malam, 6 Oktober.
Menurutnya, pasukan berkenaan menahan Ford Ranger berwarna putih yang dipandu suspek di tepi Jalan Batu 27, Jalan Keningau-Nabawan, Sook.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai dan merampas tiga paket plastik pelbagai saiz berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 54.72 gram bernilai RM6,019.
“Pemeriksaan dalam kenderaan tersebut turut menjumpai sebilah pedang yang disembunyikan di belakang tempat duduk penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Erwansyah berkata polis turut merampas Ford Ranger berkenaan serta wang tunai berjumlah RM2,000.
Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata IPD Keningau, khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa secara agresif bagi mengekang kegiatan pengedaran dan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Langkah ini bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat daerah Keningau sentiasa terpelihara,” katanya.






