Indonesia Tegas Tidak Benarkan Konsert Israel Houghton Walaupun Belum Mohon Permit

Indonesia Tegas Tidak Benarkan Konsert Israel Houghton Walaupun Belum Mohon Permit

0
SHARE

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menegaskan tidak akan membenarkan konsert penyanyi Amerika Syarikat, Israel Houghton bersama kumpulannya, Israel and New Breed, diadakan di negara itu meskipun penganjur belum mengemukakan sebarang permohonan permit.

Memetik laporan Siakap Keli, Menteri Koordinator Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan mengenai perancangan konsert berkenaan.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa kami tidak akan membenarkan konsert Israel Houghton bersama kumpulan Israel and New Breed di Indonesia,” katanya pada sidang media, Isnin.

Menurutnya, konsert itu pada asalnya dirancang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Jakarta sebelum lokasi penganjurannya dipindahkan ke tempat lain.

Yusril berkata, semakan bersama Menteri Koordinator Politik dan Keselamatan serta pihak polis mendapati tiada sebarang permohonan permit dikemukakan oleh penganjur setakat ini.

“Walaupun terdapat beberapa tokoh yang meminta kerajaan membatalkan permit konsert ini, sebenarnya tiada permohonan permit dikemukakan sehingga kini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semakan dengan Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan turut mendapati Israel Houghton belum mengemukakan permohonan visa untuk memasuki Indonesia.

Bagaimanapun, kerajaan sudah membuat persediaan sekiranya penyanyi itu cuba memasuki negara berkenaan menggunakan kemudahan visa semasa ketibaan.